Assalamualaikum Warahmatullahi wabakatuh dan Salam Sejantera,
Syukur alhamdulillah ke hadrat Allah SWT atas limpah kurniaNya serta selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW.
Pusat Pembangunan Perniagaan (BizDeC) merupakan sebuah Pusat Tanggungjawab (PTj) di UTHM yang berfungsi mewujudkan ekosistem penjanaan pendapatan dan menggalakkan pertumbuhan minda usahawan dalam kalangan staf dan pelajar, selaras dengan keperluan pemerkasaan fungsi UTHM Technoprenuer dalam menggalas Hala Tuju Global Technopreneur University (GTU) 2030.
Sejajar dengan Visi BizDeC untuk “Menjadikan UTHM sebagai institusi yang mampan kewangan melalui penjanaan pendapatan secara kendiri”, BizDeC komited menggalas tanggungjawab menjadikan UTHM sebagai sebuah institusi yang berupaya menjana pendapatan sendiri menerusi penawaran perkhidmatan sewaan dan pengkomersialan aset-aset Universiti seperti pembangunan plot-plot komersial harta tanah, bangunan komersial, tapak komersial dan fasiliti.
Selain itu, BizDeC turut menggalakkan warga kerja UTHM dalam kalangan staf dan pelajar bergiat aktif dalam aktiviti keusahawanan dan penjanaan pendapatan dalam melahirkan warga kerja berminda usahawan, dengan menawarkan peluang berniaga di ruang komersial dengan kadar sewaan yang berpatutan.
Kini, BizDeC sedang berusaha melaksanakan inisiatif baharu bagi menambahbaik tadbir urus ke arah pendigitalan proses kerja permohonan sewaan ruang komersial oleh warga UTHM dan agensi luar, selari dengan visi, misi dan objektif Universiti.
Akhir kata, saya mengambil kesempatan untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua staf BizDeC atas tekad yang jitu dan komitmen yang padu dalam mendokong aspirasi BizDeC ke arah pencapaian yang cemerlang dan terbilang. Insya-Allah!
Terima kasih.